Gangguan Bekalan Air Sejak 6 Bulan, Penduduk Mohon Tindakan Penyelesaian
Bernama
Disember 21, 2022 20:09 MYT
KOTA KINABALU: Kira-kira 600 penduduk rumah pangsa Seri Indah di Sepanggar, dekat sini, meminta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bertindak segera dalam mengatasi masalah bekalan air bersih dihadapi mereka yang sudah berlarutan sejak enam bulan lepas.
Penduduk yang tinggal di rumah pangsa empat tingkat itu turut menyuarakan rasa tertekan akibat gangguan bekalan air bersih, selain kesal kerana tiada sebarang langkah proaktif diambil oleh pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut meskipun sudah banyak kali membuat aduan.
Seorang penduduk Osman Awang, 65, yang juga pesara kerajaan berkata penduduk terpaksa turun naik tangga mengangkat air memandangkan rumah pangsa berkenaan tiada kemudahan lif, malah lebih memeritkan keadaan sehingga ada yang terpaksa mengeluarkan kos membeli air mineral untuk kegunaan harian.
“Bayangkan macam mana hidup kami yang boleh dikatakan rata-rata penduduk di sini golongan B40 dan miskin tegar. Ada yang berkongsi duit membeli air. Saya sendiri ada dua orang kurang upaya (OKU) di rumah yang memerlukan penjagaan rapi dan memerlukan air yang banyak.
“Pili bomba pun tiada air langsung. Jika berlaku musibah (kebakaran) di sini, bagaimana mahu dapatkan air? Justeru, saya mohon kepada pihak berwajib untuk datang dan melihat keadaan kami di sini seterusnya menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk Noraina Robin, 23, yang juga ibu dua anak berkata gangguan bekalan air bersih turut memberi kesan kepada kehidupan mereka sekeluarga dan menjejaskan punca pendapatannya sebagai penjual kuih, selain terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi membeli air dan tisu untuk kegunaan harian.
“Air langsung tiada. Saya tertekan kerana semua terpaksa menggunakan duit untuk membeli air dan keperluan lain. Suami bekerja sebagai mekanik dan pendapatan tidak menentu. Jualan kuih saya pun terjejas. Jika sebelum ini saya boleh dapat RM100 sehari tetapi sekarang hanya RM40 sahaja,” katanya.
Bagi Dougin Kurun, 48, masalah gangguan bekalan air berlaku ketika ini adalah paling buruk yang pernah dialaminya sejak mendiami flat berkenaan.
“Saya tinggal di sini sejak tahun 2000an. Ini adalah kali pertama berlaku gangguan bekalan air selama enam bulan. Sebelum ini ada (masalah air) tetapi tidak seteruk apa yang kami alami sekarang. Saya sangat penat. Selepas balik kerja, sambung lagi mengangkat air ke rumah di tingkat empat.
“(Sebelum ini) saya setiap bulan bayar bil air, tetapi sekarang ini, kalau ada bil datang siapa yang mahu bayar sebab tiada air. Jadi, saya berharap pihak berkuasa bertindak segera mengatasi masalah ini supaya bekalan air boleh disalurkan seperti sedia kala,” katanya.
Sementara itu, Ahli Komuniti Sepanggar Hafizul Andie, yang memberi sumbangan air mineral sebagai inisiatif membantu penduduk di rumah pangsa berkenaan berharap lebih ramai badan bukan kerajaan (NGO) tampil menyalurkan bantuan sama kepada penduduk terbabit bagi meringankan beban ditanggung mereka.
— BERNAMA