Forum Air Menyokong Inisiatif Pemuliharaan Air: Program Jimat Air 4.0, Anjuran SPAN dan Shopee Malaysia
Ditulis oleh Annisa Shabrina, disunting oleh Shahirah Anuar
Pada hari Sabtu lalu, 11 Mac 2023, Forum Air telah diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada pempamer di Program Jimat Air 4.0, anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) x Shopee Malaysia di Ipoh Parade, Perak. Turut disertai oleh YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, telah memberikan ucaptama perasmian yang diiringi oleh YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Sejak 2021, Program Jimat Air telah menjadi kesinambungan daripada Program Jimat Air 1.0 hingga 3.0, yang bermatlamat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pemuliharaan air melalui kempen promosi produk Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) sebagai satu cara untuk mengamalkan langkah penjimatan air.
Oleh kerana Forum Air adalah sebuah badan di bawah SPAN, Kempen Air Kita dijadikan fokus utama di pameran SPAN x Shopee Malaysia sepanjang acara ini berlangsung. Program sebegini adalah merupakan penglibatan sekali seumur hidup yang sebenarnya dapat memberikan pendedahan yang lebih baik terhadap pihak atasan mengenai usaha pada peringkat akar umbi yang diperkasakan oleh NGO tempatan dan juga masyarakat. Dengan menganjurkan aktiviti penglibatan sebegini di ruang komuniti, ianya dapat memainkan peranan penting dalam menggalakkan komuniti tempatan untuk menlibatkan diri mereka secara aktif dalam inisiatif pemuliharaan air kerajaan tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan tempatan (NGO).
Kita dapat simpulkan bahawa penglibatan dan aktiviti interaktif adalah penting untuk menarik orang ramai sebagai satu suntikan untuk meningkatkan kesedaran mereka. Maka, Forum Air memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk berinteraksi dengan orang awam melalui kuiz, permainan teka silang kata dan sesi perkongsian tentang penggunaan air yang cekap. Oleh kerana salah satu matlamat kempen ini adalah mewujudkan masyarakat yang lebih sedar dan cakna terhadap isu air, pendekatan ini bertujuan untuk menimbulkan rasa minat orang ramai mengenai isu-isu yang terkini, dan kemudian secara tidak langsung, ianya menjurus kepada memupuk pemahaman mereka tentang kempen dan isu air di negara kita.
Untuk menambahkan lagi impak aktiviti ini, survei singkat telah dijalankan bersama dengan orang ramai sepanjang program tersebut berlangsung. Survei ini bertujuan untuk mengenalpasti persepsi serta pengetahuan orang awam terhadap informasi serta isu air di negara ini. Hasil tinjauan ini ternyata dapat menarik perhatian warga Forum Air disebabkan oleh kepelbagaian telatah dan maklum balas dari umum yang dapat menunjukkan pemahaman serta pengetahuan yang mereka ada. Hasil daripada survei ini mampu untuk menjadi kayu ukur terhadap pihak Forum Air untuk meningkatkan lagi usaha dalam menyebarkan informasi serta komunikasi dua hala antara komuniti serta pihak operator air di Malaysia. Anda juga boleh membantu kami dengan mengisi survei ini di pautan berikut: https://bit.ly/SurveiAirKita. Suara anda amatlah penting bagi kami semua!
Di samping itu, pertandingan mewarna juga merupakan aktiviti yang menjadi tarikan utama di kalangan pengunjung cilik yang terdiri daripada kanak-kanak berumur 6 – 12 tahun. Bertemakan dengan “Air Kita, Tanggungjawab Bersama”, pertandingan mewarna ini bukan sahaja dapat memupukkan aras kreativiti si cilik, namun dapat mencetuskan minat serta pengenalan awal terhadap kepentingan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan air. Pertandingan selama 30 minit, dimenangi tiga pemenang utama, iaitu Chloe Lim (10 tahun), Sarah Lim (7 tahun), dan Muhammad Farish (11 tahun). Selain daripada hadiah wang tunai, pemenang juga menerima ‘plushie’ maskot sebagai tanda penghargaan daripada pihak SPAN.
Pihak Forum Air sangat menghargai akan peluang yang diberikan oleh pihak SPAN untuk terlibat dalam Program Jimat Air 4.0 yang di mana secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada orang awam mengenai inisiatif yang dibawa oleh Kempen Air Kita. Anda boleh melayari laman web kami di https://www.airkita.org.my/ untuk mengetahui lebih lanjut tentang kempen kami dan menyokong kami secara aktif melalui berkongsi maklum balas dan aduan anda mengenai sebarang isu air di sekitar kawasan anda. Anda juga boleh mengikuti media sosial kami di https://instagram.com/airkita_malaysia?igshid=YmMyMTA2M2Y= (Instagram: @airkita_malaysia) untuk mendapatkan kemas kini berterusan mengenai kempen kami.
Marilah kita bekerjasama ke arah perkhidmatan air yang lebih baik untuk seluruh Malaysia!