Tarif air terlalu rendah mungkin punca pembaziran
Hasimi Muhamad
Februari 23, 2023 06:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengakui kadar tarif air yang terlalu rendah mungkin menjadi punca rakyat di negara ini tidak menghargai sumber asas itu sehingga mengakibatkan penggunaan yang berlebihan.
Justeru menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak menolak kerajaan akan mengkaji keperluan untuk menaikkan tarif air domestik sebagai usaha menangani isu pembaziran air.
Jelas beliau, penggunaan air di Malaysia dikategorikan sebagai sangat tinggi, dan ia sukar untuk diubah kerana sudah menjadi tabiat masyarakat.
Selain itu, beliau berkata, kadar tarif yang rendah turut memberi tekanan kepada pengoperasian syarikat-syarikat air.
“Ya penggunaan air kita memang sangat-sangat tinggi. Itu satu perkara yang mengambil masa sebab ia soal habit dan kebiasaan kita. Mahu tidak mahu ini keputusan yang telah diambil dan dimaklumkan oleh kerajaan sebelum ini juga iaitu tentang soal tarif air.
“Bila soal tarif air itu terlalu rendah ia memberi tekanan kepada syarikat air dan juga melahirkan sikap yang mungkin tidak menghargai air dalam kalangan rakyat kita.
“Tahun lepas telah diluluskan di bawah kerajaan sebelum ini untuk dinaikkan dulu bukan domestik tarif. Kemudian peringkat seterusnya (kerajaan) mengkaji semula tarif-tarif domestik. Itu secara jujur perkara-perkara yang kita kena ambil maklum untuk atasi masalah ini,” katanya ketika sesi menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Nik Nazmi (PH-Setiawangsa) menjawab celahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang bertanya apakah usaha yang boleh dilakukan kementerian untuk mendidik rakyat agar mengurangkan penggunaan air tanpa menjejaskan kesejahteraan.
Sebelum itu, beliau Jimmy Puah berkata statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menunjukkan seorang rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 201 liter air setiap hari, yang mana penggunaan tersebut adalah melebihi 20 peratus daripada cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, data tersebut juga menunjukkan kadar penggunaan air di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding negara-negara jiran seperti Thailand yang menggunakan 193 liter sehari, manakala Singapura (151 liter).
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata SPAN turut memberikan insentif dan geran pembiayaan sepadan bagi menggalakkan kerajaan negeri mengurangkan penggunaan air tidak terhasil (NRW).
“Johor dan Selangor menunjukkan peningkatan yang sangat baik dalam mengurangkan NRW dan kerajaan memberikan dan geran pembiayaan sepadan kepada mereka.
“Selain itu, ada juga geran secara terus diberikan kepada negeri-negeri yang mahu mengurangkan NRW,” ujarnya lagi.
Pada Julai tahun lalu, kerajaan bersetuju mengekalkan tarif bekalan air bagi kategori domestik (premis kediaman) di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan berikutan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju dengan pelaksanaan pelarasan tarif bekalan air bagi kategori bukan domestik serta kategori khas di Semenanjung Malaysia dan Labuan berkuat kuasa 1 Ogos (2022), membabitkan kenaikan purata sebanyak 25 sen bagi setiap meter padu.