Tarif air terlalu murah punca infrastruktur uzur
Oleh Suzalina Halid – Disember 11, 2023 @ 11:27am
suzalina@bh.com.my
BERITA PENUH DISINI
PUTRAJAYA: Tarif air yang dianggap terlalu murah di sesetengah negeri sehingga syarikat pengendali air tidak berupaya mempertingkatkan infrastruktur asas termasuk penggantian paip, antara isu yang dipertimbangkan dalam kajian Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) yang baharu.
Isu infrastruktur terutama penggunaan paip lama dikesan menyumbang kepada masalah air yang tidak terhasil (NRW) yang membelenggu syarikat operator dalam memastikan pengurusan air yang lebih cekap kepada pengguna.
Bagi menambah baik infrastruktur terbabit, penetapan baharu tarif air, khususnya di negeri tertentu yang sudah 40 tahun tidak dikaji tarifnya, disifatkan penting oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam temu bual dengan BH baru-baru ini, beliau menekankan semua faktor terbabit menjadi pertimbangan Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam mengkaji semula tarif air melalui TSM.
Nik Nazmi berkata, sampai masanya kajian tarif air dilakukan namun akan memastikan operator air tidak mengambil keuntungan besar, sebaliknya mengutamakan kepentingan rakyat.
“Air terlalu murah menyebabkan kita tidak mampu membaiki banyak paip dan infrastruktur.
“Malah, ada sesetengah negeri kadar NRW mencecah sehingga 60 peratus. Maksudnya, jika terdapat 1,000 liter air yang diproses di loji, yang sampai di rumah hanya 400 liter sahaja kerana 600 lagi hilang dicuri atau bocor,” katanya.
Nik Nazmi berkata, berdasarkan saranan SPAN, pelarasan tarif air sepatutnya diadakan setiap tiga tahun bagi memastikan kelestarian bekalan dan kemampanan industri perkhidmatan air.
“Banyak pihak yang minta kita kaji semula adakan TSM yang kita fikir lebih mudah, satu sistem yang memudahkan kenaikan tarif dan sebagainya tanpa menunggu terlalu lama.
“Sebelum ini, (alasan) takut pilihan raya, takut itu ini sedangkan penting untuk mekanisme diperhalusi dan pastinya kita akan pastikan di peringkat SPAN, operator air ini tidak boleh mengambil keuntungan besar, kena utamakan kepentingan rakyat.
Bentang TSM di Kabinet
Ditanya setakat mana kejadian TSM ketika ini, beliau berkata kertas kajian TSM akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan akhir sebelum ia boleh dilaksanakan.
Beliau berkata, sehingga kini mekanisme itu sedang diperhalusi dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk isu alam sekitar dan rakyat sendiri.
“Apabila Kabinet bersetuju, baharu kita (akan) laksanakan TSM. Sekarang ini belum ada atau ditetapkan mekanisme akhir lagi.
“Namun perbincangan sudah dimulakan. Kita akan menetapkan kerangkanya dan ia akhirnya akan diputuskan oleh operator air di negeri,” katanya yang mengakui banyak pihak tidak menghargai air kerana harganya yang terlalu murah.
Beliau berkata, purata penggunaan air di negara ini adalah 260 liter sehari berbanding 100 liter yang disarankan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya lagi, tarif air di negara ini jauh lebih rendah berbanding negara seperti Singapura, Asia Barat dan Australia menyebabkan mereka tidak menggunakan air bersih untuk tujuan industri seperti menyejukkan loji kilang.
“Oleh kerana harga yang tidak lagi murah, mereka banyak menggunakan air buangan dari industri atau longkang, malah air pembentungan untuk menyejukkan loji kilang.
“Kenapa hendak pakai air bersih sedangkan boleh pakai dari pembentungan yang melalui proses tebus guna bagi dihantar ke kilang.
“Saya fikir dalam keadaan air semakin kritikal, maka kita perlu melihat semua pilihan yang ada seperti air tebus guna, sistem penuaian air hujan untuk tujuan selain diminum,” katanya.
Sementara itu pada sidang media di Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, semalam, Nik Nazmi berkata,TSM akan dibawa ke Kabinet minggu depan.
Ia turut membabitkan operator air di Semenanjung dan Labuan yang dijangka membabitkan peningkatan tarif bagi akaun domestik yang tidak naik begitu lama.