Aktiviti Jerayawara Forum Air di SEA Youth Sustainability Summit 2024
Oleh Alya Nadhirah
KUALA LUMPUR, 10 OGOS 2024 – Forum Air telah berpeluang menyertai SEA Youth Sustainability Summit 2024 (SEA YSS24) yang berlangsung di Asia School of Business, Kuala Lumpur. Program ini berfungsi sebagai platform utama yang mengumpulkan pelbagai pihak dari sektor awam, korporat, pendidikan, dan pembuatan dasar untuk mencari penyelesaian dan idea baharu dalam menangani isu-isu kelestarian di Asia Tenggara. Tema yang dipilih pada tahun ini adalah pendidikan kelestarian, pengurusan dan persiapan menghadapi perubahan iklim oleh negara ASEAN dari aspek sosial dan ekonomi, serta persediaan Asia Tenggara untuk persidangan COP29.
Program ini berlangsung dari jam 8:00 pagi hingga 6:00 petang. Jerayawara yang ingin dipamerkan telah diberikan garis panduan semasa pendaftaran untuk memastikan penyertaan dalam keadaan teratur dan berkesan.
Sebanyak tujuh jerayawara yang terdiri daripada organisasi yang berbeza telah mengambil bahagian dalam program ini. Kempen AirKita yang dianjurkan bertujuan merapatkan jurang komunikasi antara pengguna air dengan agensi-agensi di bawah SPAN, supaya mereka lebih memahami peranan dan tanggungjawab kolektif sebagai masyarakat yang prihatin. Survei dan aktiviti yang dijalankan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjimatan air.
Persiapan jerayawara Forum Air telah bermula beberapa minggu sebelum acara, dengan memberi penekanan kepada penggunaan bahan mesra alam dan reka bentuk yang menarik, sejajar dengan tema kelestarian. Jerayawara kami dilengkapi dengan panel maklumat, bahan pameran interaktif, serta ruang untuk berinteraksi secara langsung dengan pengunjung.
Jerayawara Forum Air menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para pengunjung. Kami berjaya mengumpulkan maklumbalas daripada lebih 50 pengunjung yang menunjukkan minat mendalam terhadap bidal air dan inisiatif Forum Air bagi kempen AirKita. Aktiviti interaktif dan sesi soal jawab yang diadakan telah menarik perhatian ramai, dan kami telah menerima maklum balas positif mengenai reka bentuk serta kandungan jerayawara yang telah dipamerkan.
Pelawat melibatkan diri dengan aktiviti interaktif di jerayawara Forum Air EcoKnights.
Penyertaan di SEA Youth Sustainability Summit 2024 memberikan pengalaman yang sangat berharga dan manfaat yang besar dalam usaha mempromosikan kelestarian. Forum Air telah berjaya mencapai matlamat utama untuk meningkatkan kesedaran mengenai bidal air dan inisiatif kelestarian kami. Selain itu, kami juga berpeluang berhubung dengan para individu yang berminat dalam inisiatif kelestarian, membuka peluang kerjasama di masa hadapan.