[KENYATAAN MEDIA] Forum Air dan Rumah Ibadat Hijau Galakkan Amalan Pengurusan Air Mampan di Kalangan Komuniti Masjid

Petaling Jaya, 15 April 2023 —- Menurut statistik pada 2021, purata rakyat Malaysia menggunakan 251 liter air setiap orang sehari, jauh melebihi kadar yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Selaras dengan Pelan Alam Sekitar Lestari Malaysia 2020-2030, yang menyasarkan kadar penggunaan air domestik sebanyak 160 liter setiap individu menjelang 2030, Forum Air dan Program Rumah Ibadat Hijau (RIH) baru-baru ini bekerjasama dalam Program Cekap Air Kita di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya.

Program Cekap Air Kita merupakan salah satu inisiatif di bawah Kempen “Air Kita, Tanggungjawab Bersama” oleh Forum Air yang diselaraskan oleh Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights (“EcoKnights”) melalui beberapa siri aktiviti pemasangan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA), pembinaan kapasiti komuniti dan aktiviti kesukarelawanan. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor berkongsi “Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan amalan pengurusan air yang cekap dalam kalangan jemaah masjid dan masyarakat setempat selari dengan program RIH yang MGTC telah jalankan sejak tahun 2021. 

Sebanyak 150 pili cekap air berstatus dua bintang disumbangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebanyak 100 unit dan 50 unit oleh Forum Air  telah dipasang di kawasan wuduk wanita serta lelaki yang melibatkan ahli kariah dan sukarelawan belia yang mengambil masa sekitar dua jam.

Turut berkongsi, Pengurus Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Al Fadhil Ustaz Ezmir Kushairy, “Sumbangan pili cekap air ini sangat bermanfaat buat para jemaah untuk menjimatkan penggunaan air. Air merupakan sumber keperluan tertinggi untuk kita beribadah terutamanya di masjid dan penting untuk kita gunakan secara cermat.”

Bersama-sama dengan 20 peserta, Amlir Ayat, Naib Pengerusi EcoKnights selaku Duta Air Kita telah menjalankan sesi perkongsian mengenai gaya hidup mampan dalam penjimatan air yang boleh diamalkan oleh komuniti masjid dan individu di rumah, termasuk penggunaan produk cekap air dan pengurusan air. Aktiviti sumbangan water thimble sebagai cenderamata juga telah dijalankan bersama komuniti masjid dan sukarelawan yang hadir.

Penyerahan produk cekap air dirasmikan oleh Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan dan Audit Industri SPAN, Mohamad Nasir Bin Mahmood. ‘Air merupakan mukjizat yang dititik beratkan akan praktikaliti penggunaannya oleh baginda Rasullullah SAW. Maka menjadi tanggungjawab kita khalifah di bumi untuk menggunakannya secara berhemat serta mengelakkan sebarang amalan pembaziran terhadap air’.

Beliau juga menambah, penggunaan air secara bijak wajar dididik seawal usia demi memastikan kelangsungan bekalan untuk generasi masa hadapan. Salah satu caranya melalui penggunaan Produk Cekap Air di kediaman mahupun di tempat kerja.

Bersempena bulan yang penuh kebaikan, Forum Air menyeru masyarakat untuk mengambil peluang ini untuk menjadi pengguna yang lebih peka dan bertanggungjawab dalam pengurusan air. 

Kami boleh dihubungi melalui https://www.airkita.org.my/kongsi-kisah/ untuk sebarang maklumbalas, aduan atau cadangan bagi sistem bekalan air dan pembentungan di negara kita. 

—Tamat—

*Hubungi pihak kami untuk sebarang pertanyaan: 

Forum Air-EcoKnights:
Shahirah Anuar
Mobile: +60 115634 2344

Email: shahirah@ecoknights.org.my

Add a Comment

Your email address will not be published.