Ditulis oleh Aisyah Zahirah, disunting oleh Shahirah Anuar


Pada hari Sabtu lalu bertempat di Pusat Informasi Sg.Penchala, 17 Jun 2023, Forum Air  telah menganjurkan program Guardian Against Garbage (GAG) bersama pelajar Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam seramai 30 orang, yang di mananya terdiri kepada fasilitator serta peserta dan di sertai juga oleh beberapa orang daripada komuniti di kawasan sekitarnya, iaitu pelajar tahfiz seramai 15 orang. 

Program Guardians Against Garbage (GAG) adalah merupakan salah satu inisiatif di bawah Kempen Air Kita, Tanggungjawab Bersama yang memberikan pendedahan kepada peserta secara langsung terhadap kepentingan menjaga alam sekitar melalui pengurusan sisa pepejal yang secara tidak langsungnya memberikan kesan terhadap sumber air. Dengan penglibatan komuniti setempat secara aktif dalam inisiatif sebegini, ianya bukan sahaja akan menambahkan ilmu pengetahuan mengenai kepentingan pemeliharaan sumber air, malah secara amnya juga akan memupuk nilai kesedaran terhadap usaha untuk mengambil berat mengenai penjagaan sumber air. 

Antara pelajar-pelajar UITM Shah Alam dan murid tahfiz yang turut menjayakan program baru-baru ini

Terdapat pelbagai aktiviti yang menarik serta memerlukan sepenuh perhatian daripada peserta yang telah diadakan pada hari tersebut, iaitu antaranya adalah aktiviti “water monitoring” , “pertandingan water filter”, gotong-royong membersihkan kawasan di tebing Sungai Penchala serta sekitarnya, “eco-brick”, “Do-It-Yourself (DIY) seedballs” dan banyak lagi. Tepat jam 9 pagi hari tersebut dimulakan dengan pendaftaran pelajar serta komuniti diikuti dengan pemberian sarapan serta taklimat kepada peserta mengenai tujuan program yang dilakukan. “Water monitoring” serta juga “DIY seedballs” merupakan aktiviti yang pertama pada hari tersebut dan dijalankan secara serentak bersama hampir 30 orang peserta yang telah dibahagikan kepada 10 kumpulan. Peserta dikehendaki untuk melakukan ujian terhadap kualiti air Sg. Penchala berdasarkan beberapa komponen, iaitu tahap pH, ammonia, nitrit dan nitrat, tahap kekeruhan air dan juga tahap oksigen larut dalam air ‘dissolved oxygen’ yang di mana majoriti peserta menyimpulkan bahawa air Sg. Penchala berada dalam keadaan yang baik dan selamat digunakan. 

Fasilitator aktiviti Water Monitoring sedang menunjukkan cara melakukan pembacaan kualiti air kepada peserta-peserta program ini

Tidak lupa juga aktiviti ‘seedball’ yang memerlukan peserta untuk membentuk bebola yang mengandungi biji benih pokok dibalut oleh tanah bernutrien untuk membantu pertumbuhan biji benih tersebut. Tujuan ‘seedball’ dilakukan adalah menambahkan jumlah kawasan hijau dan merupakan salah satu teknik guerilla dalam kaedah penanaman pokok. 

Peserta sedang bertungkus-lumus mencampurkan tanah dengan air untuk mendapatkan tekstur yang betul untuk membentuk bebola

Hari yang penuh bersemangat diteruskan dengan gotong-royong di sekitar kawasan Pusat Informasi Sg. Penchala serta di kawasan tebing sungai. Para peserta dikehendaki untuk mengumpul sampah berdasarkan beberapa kelas iaitu, plastik, aluminium, kertas atau tetrapak, dan lain-lain yang di mana aktiviti ini mengambil masa hampir 20 minit sahaja disebabkan kekuatan tenaga yang banyak! Segala tenaga yang telah dikerahkan adalah berbaloi oleh kerana mereka berjaya mengutip sampah sebanyak 21.15 kg pada hari tersebut. Sebaik sahaja telah berakhirnya aktiviti gotong-royong, mereka beralih kepada taklimat serta tutorial membuat kompos yang di mana bekas kompos akan diberikan serta diletakkan di kawasan pusat tahfiz.

Para peserta dan juga fasilitator program bergambar bersama sampah yang telah dikutip sejurus selesainya bergotong-royong

Selepas berehat selama 10 minit, para peserta meneruskan lagi program yang seterusnya yang di mana menguji serta mengasah skil dan teknik mereka, hasil daripada pembelajaran daripada aktiviti-aktiviti sebelum ini. Aktiviti yang mempunyai elemen pembelajaran secara aktif seharusnya perlu dimanfaatkan  sepenuhnya untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan melalui perkongsian maklumat yang berilmiah mengenai usaha pemeliharaan air secara langsung kepada peserta. Kesannya dapat dilihat sepanjang pertandingan ‘water filter’ yang di mana para peserta dikehendaki untuk menapis air sungai yang keruh menggunakan model penapisan air yang dibina oleh mereka.

Model penapisan air yang dibina oleh salah satu kumpulan peserta yang dimana terdiri daripada batu sungai, pasir, serbuk arang serta kapas kecil

Gelagat para peserta menunggu keputusan yang menguji kekeruhan air yang telah ditapis oleh mereka

Hari tersebut diakhiri oleh aktiviti ‘eco-brick’ yang di mana memerlukan para peserta untuk membina ‘batu-bata’ yang diperbuat daripada botol plastik serta plastik beg. Teknik ini dinamakan ‘upcycling’, iaitu menggunakan semula bentuk asal botol plastik yang boleh memberikan fungsi kepada kegunaan seharian. Matlamat ‘eco-brick’ itu sendiri bertujuan untuk mengurangkan sisa-sisa plastik daripada berakhir di tempat pelupusan sampah atau sungai. Aktiviti ini juga merupakan salah satu elemen utama dalam program Upcycle Plastic Project (UPP!) yang dibawakan oleh Forum Air (EcoKnights). Dengan aplikasi teknik yang betul, sebuah ‘eco-brick’ yang kukuh serta pejal dapat dihasilkan serta boleh digunakan sebagai asas binaan seperti kerusi tempat duduk serta juga meja.

Para peserta sedang bertungkus-lumus untuk memuatkan botol plastik dengan bahan-bahan plastik yang telah digunting halus

Program Guardians Against Garbage (GAG) diakhiri dengan penghargaan yang diberikan oleh UiTM Shah Alam berserta pemberian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan ‘water filter’ serta tidak dilupakan juga pertandingan mini laman sosial media yang di mana para peserta daripada UiTM dikehendaki untuk berkongsi gambar atau membuat video mengenai mereka yang sedang melakukan salah satu aktiviti daripada program ini. Dengan ini, berakhirlah hari tersebut dengan momen-momen yang indah serta bermakna buat para peserta. Pihak Forum Air sangat berharap melalui program sebegini, ianya dapat memupuk sikap kelestarian alam serta meningkatkan nilai dan sahsiah yang lain dalam diri para peserta seperti tanggungjawab, kepemimpinan, tolong-menolong dalam menjaga kawasan sungai kita. Jika anda terdapat sebarang pertanyaan mengenai program yang akan datang, anda boleh menghubungi pihak Forum Air di suara@airkita.org.my atau melalui laman sosial media kami di @airkita_malaysia.

Semua peserta dan juga pensyarah-pensyarah penasihat daripada Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Shah Alam (dari kiri), wakil daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (tengah), wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Pusat Informasi Sg. Penchala (dari kanan) dan juga pihak Forum Air (dari kanan) bergambar sejurusnya program ini tamat

Air Kita, Tanggungjawab Bersama!