Aktiviti Jerayawara dan Bengkel di Program Petrosains’ Weekend Special 2024

Oleh Raja Fatin Sofea

PAHANG, 21 SEPTEMBER 2024  Forum Air telah dijemput untuk menyertai Program Petrosains’ Weekend Special 2024 yang berlangsung di Petrosains PlaySmart Kuantan, Pahang. Program yang bertemakan Pengurusan Sisa & Ekonomi Kitaran ini dianjurkan oleh pihak Petrosains dengan kerjasama PETRONAS. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan usaha mengurangkan sisa buangan dan memberikan nilai tambah dalam penggunaan semula produk, sekaligus mengurangkan sisa domestik dan industri. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pengurusan sumber terhad dengan bertanggungjawab demi masa depan yang lestari, sejajar dengan usaha kelestarian kerajaan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR): Melakar Laluan ke Landskap Tenaga Lestari.

Program ini berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Sebanyak empat jerayawara yang telah mengambil bahagian dalam program ini, termasuklah SW Corp, Jabatan Alam Sekitar dan Petrosains. Jerayawara oleh Forum Air EcoKnights bertemakan Kempen AirKita dengan tujuan untuk merapatkan jurang komunikasi antara pengguna air dengan agensi-agensi di bawah SPAN, supaya mereka lebih memahami peranan dan tanggungjawab kolektif sebagai masyarakat yang prihatin. Survei dan aktiviti yang dijalankan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjimatan air.

Persiapan untuk jerayawara Forum Air telah dimulakan beberapa minggu sebelum acara, dengan penekanan pada reka bentuk yang menarik dan penggunaan bahan mesra alam, semuanya selaras dengan tema kelestarian. Kami menyediakan jerayawara yang dilengkapi dengan panel maklumat, bahan pameran interaktif, dan ruang interaksi langsung untuk pengunjung.

Jerayawara Forum Air menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para pengunjung. Dengan lebih 100 maklumbalas yang kami kumpulkan, jelas menunjukkan minat yang mendalam terhadap isu air dan inisiatif kempen AirKita. Aktiviti interaktif dan sesi soal jawab yang diadakan telah berjaya menarik perhatian ramai, di samping reaksi yang baik terhadap reka bentuk serta kandungan jerayawara yang kami tampilkan.

Forum Air EcoKnights juga telah mengadakan sesi perkongsian ilmu yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan air secara berhemat atau lebih dikenali sebagai Smart Water Consumerism (SWC) dan bengkel interaktif “Do-It-Yourself” Self-Watering System (SWS) di mana bengkel-bengkel ini disertai oleh golongan ibu bapa dan anak-anak.

Semasa sesi SWC, peserta didedahkan kepada pelbagai teknik dan strategi penggunaan air yang bijak dan efisien. Para peserta juga berpeluang untuk berinteraksi dengan wakil daripada Forum Air EcoKnights, yang memberikan soalan-soalan berkaitan penjimatan air. Setelah tamat perkongsian tentang SWC, program terus disambung dengan pendedahan tentang Self-Watering System (SWS), di mana pengunjung didedahkan tentang sistem pengairan yang membolehkan tanaman dijaga tanpa perlu disiram setiap hari. Para peserta diberikan SWS kit yang membolehkan mereka membawa pulang pokok yang telah siap dihias. Aktiviti ini bukan sahaja dapat memberikan mereka pengalaman praktikal yang bermanfaat, tetapi juga mencipta keseronokan terutama kepada anak-anak dan ibu bapa yang menyertai, sambil menggalakkan mereka untuk menghargai alam semula jadi.

Program Petrosains’ Weekend Special 2024 bukan sahaja mencerminkan komitmen Forum Air dalam mempromosikan kesedaran mengenai pengurusan air, tetapi juga menginspirasi masyarakat untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap sumber semula jadi kita. Dengan semangat kolaborasi antara pelbagai agensi dan pengunjung, kami telah mencipta platform yang membangkitkan minat dan kesedaran, mengajak semua untuk bersama-sama memelihara alam demi generasi akan datang. Dengan jerayawara, bengkel, dan aktiviti yang diadakan, diharapkan lebih ramai individu akan terlibat dalam usaha menjaga dan menggunakan air dengan bijak. Inisiatif ini adalah langkah positif ke arah membina masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam, demi masa depan yang lebih baik. Ingat, Air Kita Tanggungjawab Bersama!

– Tamat – 

Add a Comment

Your email address will not be published.